Sunday, November 8, 2009

Kejadian Cubaan Pecah Rumah Jalan Ixora 1/13

Dimaklumkan terdapat satu kejadian cubaan pecah rumah telah berlaku di Jalan Ixora 1/13, Taman Ixora. Rumah yang terlibat ialah :-

No. 51, Jalan Ixora 1/13
Hari Ahad (8 November 2009)
Anggaran kejadian jam 9.30 Malam

Adalah diharapkan supaya penduduk Taman Ixora memberi perhatian terhadap rumah-rumah kosong yang belum diduduki. Berkemungkinan rumah berkenaan menjadi tempat persembunyian mereka.

Thursday, November 5, 2009

Kejadian Pecah Rumah Di Jalan Ixora 1/13, Taman Ixora

Dimaklumkan terdapat dua kejadian pecah rumah telah berlaku di Jalan Ixora 1/13, Taman Ixora. Rumah yang terlibat adalah :-

1. No. 55, Jalan 1/13
- Hari Isnin (2 Nov 2009)
- Anggaran masa kejadian jam 9.00 pagi - 10.00 pagi
- Sejumlah kerugian harta benda telah dilaporkan

2. No. 5, Jalan 1/13
- Hari Rabu (4 Nov 2009)
- Anggaran masa 9.00 pagi - 10.00 pagi
- Cubaan pecah masuk - tuan rumah ada di dalam rumah

Adalah diharapkan semua penduduk Taman Ixora supaya berhati-hati dengan kejadian yang berlaku dan mengambil langkah-langkah keselamatan yang sepatutnya.

Wednesday, October 21, 2009

Ibadah Qurban 1430 Hijrah Anjuran PPTI

Persatuan Penduduk Taman Ixora akan mengadakan Ibadah Qurban pada tarikh dan tempat seperti berikut:-

Tarikh : 29 November 2009 (Ahad)
Masa : 8.00 Pagi
Tempat : Taman Permainan Kanak-kanak, Taman Ixora
Anggaran Satu Bahagian : RM370.00

Diantara fadhilat berqurban ialah:-
1. Menambah amal kebajikan, sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W.: "Orang yang berqurban itu akan dikurniakan bagi setiap bulu binatang qurbannya dengan satu kebajikan".
2. Sebagai penebus dosa, seperti sabda Rasulullah S.A.W. kepada Sayyidatina Fatimah Radhiallahu 'Anha: "Wahai Fatimah pergilah ke tempat qurbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya dengan titisan darahnya yang pertama itu akan diampunkan dosa-dosamu yang telah lalu".
3. Mendapat tempat yang mulia di sisi Allah Subhanahu Wata'ala, sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W: "Wahai manusia, kamu lakukanlah ibadat qurban dan berharaplah pahala daripada Allah dengan darahnya itu, sesungguhnya darah qurban itu jika ia jatuh ke bumi, maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah 'Azza Wa Jalla".

Sehubungan dengan itu pihak persatuan ingin mempelawa ahli persatuan yang berminat untuk menyertai ibadah berkenaan. Borang penyertaan akan diedarkan kepada tuan/puan dalam waktu terdekat. Tarikh tutup penyertaan adalah pada 15 November 2009. Penyertaan adalah terhad kepada 5 -7 ekor lembu sahaja.

Borang penyertaan beserta bayaran bolehlah dihantar kepada Setiausaha (No. 119, Jalan Ixora 1/2), Bendahari (No. 48, Jalan Ixora 1/1) atau mana-mana ahli jawatankuasa PPTI.

Sila klik di sini untuk mendapatkan borang penyertaan.

Saturday, October 17, 2009

Majlis Hari Raya Aidilfitri Taman Ixora

Persatuan Penduduk Taman Ixora telah menganjurkan Majlis Hari Raya Aidilfitri Taman Ixora pada tarikh dan tempat seperti berikut:-

Tarikh : 17 Oktober 2009 (Sabtu)
Masa : 8.30 Malam
Tempat : Taman Permainan Kanak-Kanak Taman Ixora
Dirasmikan Oleh : Tuan Titus Gladwyn A/L SG Gomez (Ahli Majlis BBST Selatan)
Turut Hadir : Puan Rohaya Bt Mohd Shahir (Ahli Majlis BBST Utara)

Objektif utama majlis tersebut adalah seperti berikut :
a. Merapatkan hubungan kekeluargaan dan silaturrahim dikalangan penduduk Taman Ixora.
b. Menyediakan peluang kepada penduduk untuk bermaaf-maafan di antara satu sama lain.
c. Mewujudkan semangat kejiranan dan tolong-menolong dikalangan penduduk menyediakan makanan dan minuman kepada penduduk.
d. Sebagai tanda kesyukuran kepada Allah S.W.T kerana berjaya melaksanakan ibadah puasa di bulan Ramadhan.

Diantara senarai menu hidangan pada malam itu ialah:
1. Kuetiau Goreng, Lemang dan Rendang
2. Mee Kari
3. Bubur Lambuk
4. Bihun Singapore
5. Kuih Muih dan Desert
6. Otak-otak
7. Nasi Lemak Ayam Berempah
8. Mee Goreng Mamak
9. Nasi Impit dan Kuah Lodeh
10. Cendol dan ABC
11. Buah-buahan dan Air Minuman

Hidangan makanan disediakan oleh setiap lorong di Taman Ixora.

Majlis berkenaan mendapat sambutan yang meriah daripada penduduk Taman Ixora. Seramai 88 orang ahli persatuan bersama ahli keluarga hadir memeriahkan majlis berkenaan. Sebanyak 15 hadiah cabutan bertuah telah disediakan pada malam itu. Tahniah diucapkan kepada ahli persatuan yang berjaya.

Pihak persatuan juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat menganjurkan majlis berkenaan termasuk semua AJK PPTI, Majlis Perbandaran Sepang, pemaju (Getrahome Sdn. Bhd.) dan semua ahli PPTI yang telah memberikan sumbangan.

Sila klik di sini untuk melihat gambar semasa majlis berkenaan.

Friday, October 16, 2009

PPTI Melawat Ahli Yang Menjalani Pembedahan di Hospital Putrajaya

Pada hari Khamis, 15 Oktober 2009 jam 5.30 petang, Persatuan Penduduk Taman Ixora diwakili oleh Setiausaha dan Pen. Setiausaha telah melawat seorang ahli persatuan yang telah dimasukkan ke Hospital Putrajaya. En. Ashy Affandi Bin Araffin Bakar (No. 10, Jalan Ixora 1/4) telah selamat menjalani pembedahan membuang appendiks pada 12 Oktober 2009 jam 3.45 petang.

Alhamdulillah pembedahan berkenaan telah selamat dijalankan dan beliau beransur pulih. Beliau telah didiscaj daripada wad pada 16 Okt 2009 jam 5.00 petang. Kepada ahli yang berkelapangan bolehlah melawat beliau di rumah.

Semua ahli persatuan mendoakan semoga beliau cepat sembuh dan menjalani kehidupan harian seperti biasa.

Monday, October 12, 2009

Skim Perlindungan Takaful Perbelanjaan Serta-Merta Selepas Kematian Berkumpulan GFE00324 : Persatuan Penduduk Taman Ixora BBST

Persatuan Penduduk Taman Ixora telah menyertai Skim Perlindungan Takaful Perbelanjaan Serta-Merta Selepas Kematian Berkumpulan, Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. Berikut adalah butiran skim berkenaan:-

No. Sijil Induk : GFE00324
Tempoh Perlindungan : 1 Julai 2009 - 30 Jun 2010 (1 Tahun), akan diperbaharui setiap tahun

Jumlah Perlindungan :
Peserta - RM1,000.00
Pasangan - RM1,000.00
Anak (Maksima 3 orang) - RM500.00

Kadar Caruman : RM 15.00 setahun setiap peserta

Sila klik di sini untuk melihat senarai peserta yang telah menyertai skim berkenaan. Salinan polisi akan dihantar kepada setiap peserta untuk rujukan dalam waktu terdekat. Penyertaan masih dibuka kepada semua ahli PPTI. Borang penyertaan boleh didapati daripada Setiausaha PPTI.

Friday, October 9, 2009

Kebakaran Kawasan Hutan Di Taman Ixora

Satu kejadian kebakaran kawasan hutan di Jalan Ixora 1/1, Taman Ixora telah berlaku pada hari Jumaat, 9 September 2009 jam 2.45 petang. Kejadian berkenaan disedari oleh salah seorang penduduk Taman Ixora. Penduduk berkenaan telah menelefon Bomba untuk memadamkan kebakaran berkenaan. Bomba yang tiba 15 minit kemudian telah berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke kawasan hutan dan rumah kongsi perkerja Indonesia berhampiran. Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada jam 3.20 petang.

Punca kejadian tidak dapat dikenalpasti dan besar kemungkinan berpunca daripada cuaca yang panas terik kebelakangan ini dan daun-daun kering di kawasan hutan berkenaan. Adalah diharapkan agar penduduk sentiasa berwaspada dengan sebarang kejadian seumpama ini dan tidak melakukan sebarang pembakaran secara terbuka di kawasan rumah masing-masing.

Pihak persatuan mengucapkan ribuan terima kasih di atas tindakan pantas pihak Bomba yang berjaya memadamkan kebakaran dan mengawal kejadian berkenaan daripada merebak. Pihak persatuan juga mengucapkan terima kasih kepada En. Zulkifli Hashim (Jalan 1/13) yang begitu perihatin dengan kejadian yang berlaku dan menelefon pihak Bomba.

Sila klik di sini untuk melihat gambar kejadian berkenaan.

Sunday, September 27, 2009

Aduan Simpang Masuk Dan Keluar Merbahaya Ke Taman Ixora

Satu aduan rasmi telah dikemukakan oleh Persatuan Penduduk Taman Ixora kepada Majlis Perbandaran Sepang mengenai simpang keluar dan masuk merbahaya ke Taman Ixora. Nombor siri aduan adalah 7493 bertarikh 16 September 2009.

Adalah didapati simpang berkenaan merbahaya kepada kenderaan yang keluar dan masuk ke Taman Ixora. Pengguna terpaksa memerhatikan kiri dan kanan jalan dengan teliti sebelum melintas. Penglihatan adalah terbatas kerana dihalang oleh landskap (pokok bunga dan hiasan di pembahagi jalan kiri dan kanan).

Persatuan mencadangkan beberapa tindakan diambil oleh pihak MPSp iaitu:-
1. Tidak menanam sebarang pokok, bunga dan hiasan di pembahagi jalan sepanjang 50 meter di kiri dan kanan simpang jalan berkenaan.
2. Memasang lintasan belang bagi jarak 50 meter di kiri dan kanan simpang berkenaan bertujuan bagi memperlahankan kenderaan yang menghampiri simpang berkenaan.
3. Memasang lampu isyarat di persimpangan jalan berkenaan.

Persatuan amat berharap aduan ini mendapat tindakan yang segera daripada pihak MPSp kerana telah berlaku 4(empat) kejadian kemalangan di simpang berkenaan.

Surat akuan terima aduan telah diterima daripada MPSp pada 17 September 2009 dan tindakan menyiasat aduan akan dibuat dalam tempoh Empat Belas (14) hari bekerja. Sebarang kemusykilan tuan/puan bolehlah berhubung terus di Unit Aduan Awam di talian telefon 03-83190200 @ 03-83190300 sambungan 429/431/432 atau faks ke 03-83204200.

Sila klik di sini untuk melihat gambar lokasi simpang berkenaan.

Tuesday, September 15, 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri Dan Maaf Zahir Batin

Jawatankuasa Persatuan Penduduk Taman Ixora mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir Batin kepada semua penduduk Taman Ixora. Semoga dengan kedatangan lebaran ini dapatlah kita bermaaf-maafan di antara satu sama lain. Terutama sepanjang kami melaksanakan tugas mungkin ada salah dan silap haraplah dimaafkan.

Kepada penduduk yang balik ke kampung halaman untuk beraya bersama keluarga tercinta, kami mendoakan semoga selamat tiba ke destinasi. Pandu cermat jiwa selamat. Ingatlah orang yang tersayang.

Sunday, September 13, 2009

Cadangan Penubuhan Perpustakaan Desa Di Bandar Baru Salak Tinggi

Satu mesyuarat bersama Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor(PPAS), wakil persatuan penduduk Taman Ixora danTaman Mawar 2 telah diadakan seperti butiran berikut:-

Tarikh : 11 September 2009 (Jumaat)
Masa : 3.00 Petang
Tempat : Bilik Mesyuarat Tingkat 2, Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam

Mesyuarat berkenaan telah dihadiri oleh:-
1. Pengarah PPAS (Puan Mastura Bt Hj Muhamad)
2. Ketua Seksyen Perkhidmatan Rangkaian Perpustakaan (Puan Suzliana Bt Abd Hamid)
3. Ketua Bahagian Perancangan dan Pembangunan (En. Norazhan Bin Sahlan)
4. Ketua Perkhdimatan Zon Daerah 2 (En. Mohamed Fadzli Bin Mohd Fauzi)
5. En. Rasyid (Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Mawar 2)
6. En. Mohd Hasiady (Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Ixora)
7. En. Mohd Iqbal (Penduduk Taman Ixora)

Diantara agenda mesyuarat adalah:-
1. Membincangkan cadangan pihak persatuan penduduk untuk mewujudkan perpustakaan desa di BBST bagi manfaat kepada semua pengguna perpustakaan.
2. Menjalin hubungan yang berterusan diantara persatuan penduduk dan Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor.

Diantara keputusan mesyuarat yang dipersetujui ialah:-
1. Cadangan lokasi adalah Business Park (Pejabat Majlis Perbandaran Sepang lama)
2. Lawatan tapak akan diadakan pada minggu pertama bulan Oktober.
3. Target penubuhan adalah pada 1 Julai 2010.

Setakat ini 15 cadangan penubuhan perpustakaan desa dalam pertimbangan untuk kelulusan.

Mesyuarat juga dimaklumkan kos untuk mewujudkan sebuah perpustakaan desa adalah sebanyak RM150,000 yang terdiri daripada:-
1. Ubah Suai Bangunan RM50,000
2. Koleksi Perpustakaan RM50,000
3. Perabot Dan Kelengkapan RM30,000
4. Komputer RM20,000

Cadangan berkenaan mendapat reaksi yang positif daripada PPAS. Perbincangan lanjut akan diadakan dari semasa ke semasa untuk merealisasikan penubuhan perpustakaan desa di BBST untuk kemudahan kita bersama.